-->

Tips Merawat Jerawat Ketika Hamil

on Wednesday, September 12, 2012

Oh Jerawat!! Wanita yang mengalami jerawat ketika hamil haruslah lebih berhati-hati dengan ubat-ubatan yang mereka beli dari farmasi. Ini kerana tidak semua ubat-ubatan yang biasa digunakan, sesuai untuk mereka. Ubat-ubatan itu boleh memberikan kemudharatan pada bayi dalam rahim.


Sebenarnya mengalami jerawat (acne) adalah perkara biasa di kalangan wanita yang hamil. Jika jerawat itu tidak berapa teruk, tentu tidak merisaukan. Tetapi jika jerawat itu terlalu teruk, sudah tentu ramai wanita yang berasa malu dan berusaha untuk menghilangkan jerawat itu dengan segera.

Punca bagi pembentukan jerawat di kalangan wanita yang hamil ialah akibat hormone terutama di awal usia kehamilan (trimester pertama). Peningkatan hormone ini akan menggalakkan kulit mengeluarkan minyak.

Minyak pada kulit yang keluar secara berlebihan akan memerangkap tisu kulit yang mati dan menutupi liang-liang pada kulit. Akibatnya kuman pada kulit akan mudah membiak di situ. Jangkitan kuman ini akan menyebabkan radang pada kulit dan pembentukan jerawat.

Namun tidak semua wanita yang hamil akan mengalami jerawat. Wanita-wanita yang berisiko ialah wanita yang pernah mengalami jerawat yang teruk semasa remaja atau wanita yang pernah mengalami jerawat yang teruk pada setiap kali ketika kedatangan haids.

Jika wanita itu tidak mengalami jerawat di awal kehamilan, berkemungkinan besar beliau tidak akan mengalami jerawat di sepanjang kehamilan.

Merawat jerawat ketika hamil agak rumit sedikit. Doktor harus bertanyakan sama ada seorang wanita itu sedang hamil atau tidak. Ini soalan yang perlu ditanyakan kerana kebanyakan ubat jerawat boleh mendatangkan kemudharatan pada bayi atau janin dalam rahem.

Jadi berhati-hatilah ketika membeli ubat yang dijual di farmasi tanpa preskripsi kerana kebanyakan pembantu kedai di farmasi tidak ada pengetahuan mengenai kemudharatan ini. Berjumpalah dengan ahli farmasi atau doctor bagi mengelakkan kemudharatan pada bayi dalam rahem.

Oleh itu secara amnya saya menasihatkan agar haruslah mengelakkan diri daripada ubat-ubatan moden atau herba yang tidak perlu bagi mengelakkan kemudharatan ini.

Bagi mencegah jerawat yang menjadi lebih teruk, bolehlah amalkan tip-tip berikut:


  1. Membasuh muka dengan pembasuh muka dua kali sehari
  2. Jangan menggosok muka dengan kain yang kotor atau menggosok terlalu kuat kerana akan menyebabkan jerawat bertambah teruk.
  3. Gunakan tuala untuk mengeringkan muka dengan cara menepuk-nepuk dan bukan menggosok kulit muka
  4. Pastikan menggunakan pelembap muka tanpa minyak (oil-free moisturizer)
  5. Jangan memicit jerawat kerana akan menyebabkan jerawat meninggalkan parut yang besar
  6. Jika menggunakan mekap, gunakan mekap “water-based” dan bukan “oil-based”. Ada kalanya dilabel sebagai “noncomedogenic” atau “nonacnegenic,” bermakna tidak menyumbatkan liang pada muka dan menyebabkan jerawat.
  7. Pastikan menanggalkan mekap sebelum tidur.


Jika tip-tip ini tidak berkesan kerana mengalami jerawat yang terlalu teruk, bolehlah mengambil kream untuk disapukan pada kulit. Menggunakan kream adalah lebih baik kerana ia mengurangkan kesan ubat yang masuk ke dalam sistem darah dan seterusnya akan sampai kepada bayi dalam rahem.

Sekali lagi, saya menasihatkan sebelum menggunakan ubat-ubatan untuk merawat jerawat haruslah mendapat preskripsi dari doctor atau nasihat dari ahli farmasi.

Bagi wanita yang tidak hamil, penggunaan pil antibiotic adalah cara terbaik membunuh bakteria yang membiak di liang-liang kulit. Bagi mengurangkan kesan mudharat pada bayi, ubat antibiotic ini harus diambil dalam bentuk kream.

Selalunya doctor akan memberikan pil antibiotic tetracycline, tetapi antibiotic tidak sesuai untuk wanita hamil kerana akan menyebabkan kemudharatan pada bayi. Kream antibiotic tetracycline juga ada dijual di farmasi. Namun bagi wanita hamil, penggunaan kream tetracycline masih tidak selamat.

Doktor selalunya memberikan kream antibiotic erythromycin yang lebih selamat tetapi harus mendapat preskripsi doctor dahulu. Selain kream antibiotic, kream Azelaic acid (Azelex), yang merupakan krim bukan antibiotic yang lebih selamat.

 Penggunaan krim benzoyl peroxide masih dalam kontroversi. Walaupun belum terdapat laporan bahawa kream ini memberikan mudharat pada bayi, tetapi belum banyak kajian mengenainya. Jadi keselamatan untuk bayi masih belum terjamin.

Penggunaan krim isotretinoin dan antibiotik lain seperti minocycline dan doxycycline ketika hamil harus dielakkan. Jika krim yang digunakan masih tidak berkesan, saya cadangkan untuk berjumpa dengan pakar kulit, dermatologist.

 Kebanyakan jerawat akan beransur-ansur hilang setelah melahirkan anak. Jadi pertimbangkan manfaat dan kemudharatan yang bakal diterima oleh bayi dalam rahim, dalam usaha untuk merawat jerawat ketika hamil.

Sumber: Dr Zubaidi
Ranking: 5

{ 0 comments ... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Oh Jerawat All Rights Reserved